Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mendengar penerangan daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

RANTAU – Jika keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak menyebelahi Pakatan Harapan (PH), ia tidak menjejaskan peluang Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekiranya Dr. S. Streram kalah, Anwar tidak perlu risau kerana Dr Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Apa kena mengena dengan PRK Rantau dengan (peralihan kuasa) Perdana Menteri, Tun Mahathir dah kata semalam dia kata lagi bila saya berhenti esok anwar jadi PM, tak tahu bila la dia berhentikan,” katanya hari ini.

Tambah calon BN bagi PRK DUN Rantau, isu Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir adalah isu remeh dan tidak perlu diperbesarkan.

“Tak timbul peluang Anwar tipis ke tidak (untuk jawatan PM). Terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk lantik kerana mereka kena setuju jika Tun Mahathir berhenti siapa mereka nak dilantik sebagai ketua,” katanya lagi.

Semalam, Dr. Mahathir sekali lagi memberi jaminan tempatnya akan diambil alih Anwar apabila sampai waktunya nanti.

Ia sekali gus menangkis dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa beliau tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette