Mujahid
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bergambar bersama replika astaka pada Sidang Media Pra Pelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 Tahun 1440H/2019M di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 Tahun 1440H/2019 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama enam hari bermula 15 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, MTHQA terbahagi kepada dua kategori iaitu tilawah yang bermula 15 hingga 19 April ini dari pukul 8.45 malam manakala pertandingan menghafaz pada 16 hingga 18 April pukul 9 pagi.

Beliau berkata, terdapat tujuh negara yang menyertai MTHQA buat pertama kali iaitu Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

“Majlis yang berprestij ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 12 April pukul 8.45 malam.

“Penganjuran MTHQA Ke-61 adalah usaha berterusan untuk meningkatkan syiar Islam sebagi rahmat dengan membawa mesej keamanan dan kemakmuran berasaskan kepada Maqasid Syariah ke arah melahirkan model Malaysia yang sesuai dengan keadaan, adat dan budaya bangsa Malaysia tanpa meninggalkan asas-asas Islam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media MTHQA Ke-61 di sini hari ini.

Menurut Muhajid, sebanyak 90 negara telah dijemput untuk menyertai MTHQA untuk edisi kali ini dan 70 negara telah mengesahkan penyertaannya.

Jelas beliau, daripada jumlah, sebanyak 23 negara menghantar dua wakil masing-masing Qari dan Qariah untuk kategori tilawah.

“Bagi kategori hafazan pula, sebanyak 26 negara telah dijemput menyertainya dengan kebanyakkan dari negara Timur Tengah dan Afrika.

“Selain itu, 41 buah negara lagi dijemput secara pilihan terbuka sama mereka ingin menyertai kategori tilawah atau hafazan,” katanya.

Mujahid menambah, Malaysia akan diwakili Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Peringkat Kebangsaan tahun ini iaitu Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Fairuzah Panut untuk acara tilawah.

“Untuk hafazan pula, negara akan diwakili Abdullah Ulwan Ismail dan Raudah Abdul Razak, kedua-duanya merupakan johan lelaki dan wanita kategori 30 juzuk pada majlis tilawah dan hafazan peringkat kebangsaan 2019,” katanya.

Pada masa sama, Mujahid memberitahu, johan Qari dan Qariah MTHQA bakal menerima kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai RM40,000 dan piala iringan manakala johan Hafiz dan Hafizah membawa pulang kepingan emas RM50,000, wang tunai RM25,000 dan piala iringan.

“Bacaan para perserta akan dihakimi oleh 14 orang jemaah hakim daripada pelbagai negara antaranya termasuk Malaysia sendiri, Arab Saudi, Mesir dan Jordan,” katanya. – MalaysiaGazette