ANKARA – Pengiraan semula undi di Istabul sebahagiannya hampir selesai dan perbezaan undi antara calon pembangkang dan parti AK tetap sekitar 20,000.
Keputusan awal dari pilihan raya menunjukkan parti pembangkang Parti Republik (CHP) memenangi dua kota terbesar di Turki iaitu Istanbul dan Ankara.
Kemenangan pembangkang itu meresahkan Presiden Tayyip Erdogan yang menguasai parti AK.
Di Istanbul, calon CHP Ekrem Imamoglu, dan pesaingnya, bekas perdana menteri Binali Yildirim, kedua-duanya berkata, Imamoglu mendapat lebih undi kira-kira 25,000, margin yang sangat tipis di bandar yang mempunyai populasi seramai 15 juta orang.
Parti AK telah menyerahkan bantahan terhadap keputusan pilihan raya di semua daerah Istanbul dan Ankara, dengan mengatakan keputusan undi disebabkan undi tidak sah dan penyalahgunaan suara.
Pada Rabu, Lembaga Pemilihan Tinggi Turki (YSK) memutuskan untuk mengembalikan semula undi di 18 daerah 39 bandar raya itu, sementara AKP berkata, perbezaan undi semakin mengecil berikutan pengiraan semula undi.
Bercakap kepada pemberita di daerah Gungoren, Istanbul, Khamis, Imamoglu berkata, penghitungan semula itu telah siap di sembilan atau sepuluh daerah dan menggesa YSK menghormati peraturannya semasa proses pengiraan.
“Keputusannya tidak akan berubah. Masa berlalu dan Istanbul menantikan perkhidmatan, jadi kami hanya mahu semua selesai secepat mungkin,” kata Imamoglu.
Di ibu kota Ankara, YSK memerintahkan pengiraan semula undi di 11 daerah, setelah AKP membantah keputusan awal yang menyaksikan calon pembangkang Mansur Yavas mengalahkan pesaingnya, mantan menteri Mehmet Ozhaseki, dengan hampir 4 mata peratusan.
Jika hasil awal disahkan, CHP akan menguasai belanjawan perbandaran dengan jumlah anggaran 32.6 bilion liras (AS$ 5.79 bilion) untuk Istanbul pada tahun ini, hab komersial Turki dan ibu kota Ankara. – MalaysiaGazette
















