Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) didesak memberi penjelasan terbuka berhubung hartanah agensi itu yang kini dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik kerajaan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu bertujuan untuk meredakan kebimbangan umat Islam khususnya pendeposit dan bakal jemaah haji agensi itu.

“Pas menuntut satu penjelasan terbuka daripada pihak TH berhubung hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

“Ia penting untuk meleraikan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, semua TH bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, pada sidang Dewan Rakyat pada 26 Mac lalu memberi jaminan aset TH berkenaan tidak dicairkan sebaliknya hanya menjalani proses rehabilitasi melalui strategi penstrukturan semula itu.

Mujahid berkata, pemindahan aset berkenaan kepada SPV adalah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi itu.

Nasrudin juga menimbulkan beberapa persoalan terhadap langkah itu, antara lain sejauh mana kesemua 29 unit hartanah yang dipindahkan terutama tanah memberikan pulangan kurang dua peratus setahun untuk jangka pendek dan jangka panjang.

“Aset hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd adalah sebanyak 29 unit yang meliputi tanah, hotel, pejabat, bangunan komersial dan bangunan kilang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana TH mengambil kira potensi hartanah khususnya tanah berhubung anggaran nilai pembangunan kasar yang akan dibangunkan agensi itu kelak.

“Merujuk kepada ‘Plan Moving Forward’ yang dikemukakan oleh LTH, adakah semua unit hartanah yang dipindahkan akan dijual?,” katanya lagi. – MalaysiaGazette