Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka sederhana pada kadar 3.6 peratus tahun ini berbanding 6.7 peratus tahun lalu.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, keadaan itu berlaku di sebabkan kesan asas yang lebih tinggi petunjuk-petunjuk utama global yang tidak menyenangkan.

Kadar penyederhanaan itu adalah konsisten dengan harga komoditi global, unjuran kelembapan prestasi keseluruhan perniagaan ditambah dengan ketidaktentuan dalam konflik perdagangan Amerika Syarikat-China.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan, penurunan dagangan Malaysia sebanyak 7.2 peratus kepada RM122.15 bilion berbanding RM130.94 bilion setahun lalu.

Prestasi lemah itu disebabkan oleh penyusutan dagangan dengan China, ASEAN, Kesatuan Eropah, Switzerland, Hong Kong, India, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Dagangan Malaysia dengan Arab Saudi, Taiwan dan New Zealand mencatatkan peningkatan.

Eksport merosot 5.3 peratus kepada RM66.6 bilion berbanding setahun lalu manakala import menguncup 9.4 peratus kepada RM55.54 bilion pada tempoh yang sama.- MalaysiaGazette