Siti Nurhaliza
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bergambar bersama ahli jawatankuasa program pada sidang media sempena Karnival Mahabbah 1.0 di The Pearl Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan nasyid Hijjaz akan mengadakan persembahan majlis makan amal Karnival Mahabbah 1.0 anjuran Masjid Muhibbuddin Shah atau dikenali sebagai Masjid Hospital pada 24 April ini.

Majlis yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Indera Mulia di Ipoh, Perak itu bertujuan mengumpul dana khusus untuk pengimarahan program masjid pada bulan Ramadan antaranya program iftar, moreh, sumbangan untuk anak yatim, bantuan asnaf fakir miskin dan juga penambahbaikan homestay serta penyelenggaraan barangan Kufya Band.

Siti, 40, memberitahu dia terpanggil menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam untuk membantu insan lain dengan menyertai program keagamaan dalam usaha mengimarah masjid.

”Saya menyambut baik jemputan yang diberikan untuk menyertai program sebegini. Insya-Allah saya akan menyampaikan lagu-lagu pop yang sarat dengan mesej ketuhanan dan kerohanian sesuai dengan suasana majlis.

“Saya juga tidak keberatan untuk berduet dengan kumpulan Hijjaz yang turut serta dalam program amal ini.

“Kami juga pernah berduet dalam sebuah projek khas sedikit masa dulu. Insha-Allah kami akan bincang untuk bentuk persembahan yang akan dibawakan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel The Pearl Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Program merangkap Imam Utama Masjid Muhibbuddin Shah, Ustaz Mohd. Hafizullah Mohd. Tahir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Karnival Mahabbah 1.0 akan berlangsung bermula 24 April hingga 28 April dengan pelbagai aktiviti keagamaan, kerohanian dan keusahawanan disediakan.

Sementara itu, pembelian meja dibahagi kepada tiga kategori iaitu Platinum RM5,000 (berdekatan pentas utama), Gold RM3,000 (tengah dewan), Silver RM2,000 (belakang).

Pentadbiran masjid menyeru mana-mana individu atau korporat yang ingin menaja meja amal boleh menghubungi pihak penganjur 013- 4866153 atau pejabat 05-264 1404.

Majlis makan malam itu terhad kepada 90 meja sahaja. – MalaysiaGazette