Anwar Ibrahim

PRK RANTAU –  Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa pihak yang disebut Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai cuba menjatuhkan beliau adalah personaliti daripada keluarga diraja.

“Kenyataan itu sangat khusus. Perdana Menteri merujuk kepada percubaan daripada personaliti dalam keluarga diraja dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak dalam parti,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan santai bersama veteran tentera di Sendayan di sini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yan mengaitkan keputusan Malaysia menarik balik ratifikasi Statut Rom dengan cubaan pihak tertentu menggunakan raja-raja untuk menjatuhkan kerajaan dan dirinya. .

Ditanya pandangan beliau mengenai keputusan kerajan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sepertimana yang dijelaskan oleh Dr Mahathir, pendirian kerajaan itu jelas  mengambil kira beberapa pandangan baru terutama dari raja-raja.

“Saya ingat ada kebijaksanaan yang dibuat oleh PM dan kerajaan untuk tidak menimbulkan masalah. Perkara ini perlu dijelaskan lagi,” ujarnya.

Menjawab soalan sama ada beliau kecewa dengan keputusan tersebut, katanya,  pendiriannya telah dijelaskan kepada perdana menteri dalam pertemuan semalam bahawa prinsip dalam Statut Rom itu ke arah perubahan, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi kita juga perlu terima kenyataan bahawa beberapa masalah dan kebimbangan perlu dileraikan sepertimana isu ICERD.

“Kadang-kadang penafsiran negatif oleh politik pembangkang juga perlu kita ambil kira dan jelaskan.,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: