Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sembang santai bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Sega, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2019

PRK RANTAU – Selepas Datuk Seri Najib Razak, kini anak tiri bekas perdana menteri itu pula menjadi topik ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rantau hari ini.

Presiden PKR itu mendakwa anak tiri Ahli Parlimen Pekan iaitu Riza Aziz berjudi menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak US$12 juta satu malam di Kasino di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Jika ia dianggap tidak benar, beliau mencabar Najib yang juga bekas pengerusi 1MDB untuk menjawab dakwaan tersebut.

“Riza Aziz ini saya selalu tak sebut, lama tak sebut, di PD (Port Dickson) pun saya tak sebut tapi saya nak sebut di sini sebab nak tengok kalau orang cuba nafi (berjudi), saya nak minta jelaskan.

“Ini serius. Riza Aziz ini nama dia, nama kad pengenalan dia. Dia guna AS$12 juta satu malam di Kasino Caesars Palace, Las Vegas.

“12 juta dolar Amerika Syarikat maknanya RM48 juta hampir 50 juta ringgit satu malam. Bila trace, trace, trace (cari..cari..cari), duit 1MDB. Dia (BN) berceramah masih pertahankan (Najib) lagi. Ini rekod bank, kalau salah saman,” katanya semasa berceramah di Kampung Sega Hilir, Rantau petang tadi.

Beliau turun ke kampung kubu kuat BN UMNO untuk bersantai bersama lebih 150 pengundi Rantau yang turut dihadiri Calon PH Dr. S. Streram.

Menurut beliau, segala laporan mengenai nama, kad pengenalan, tarikh, waktu dan juga nombor akaun bank menunjukkan ia berlaku.

“Itu dia tahu berapa juta dibelanja. Ini dana 1MDB masalahnya digunakan untuk belanja begitu, Ini tak (belum) kira beli-belah apa semuanya.

“Jadi saya tak mahu fitnah, saya baca laporan ini, kalau Najib jawab…jawablah, bukan kita nak reka. Saya hanya ambil daripada report (laporan) dan bagi tahu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette