Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2019.

PRK RANTAU – ‘Saya tak kata kenang jasa. Saya mintak tolong,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau memberikan reaksi itu ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa  Mohamad sebagai tidak ikhlas selepas meminta pengundi mengenang budinya semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mohamad berkata, beliau hanya meminta pengundi untuk mengundinya, bukan dengan mengenang jasa yang pernah ditabur beliau selama ini.

“Kalau dia dibesarkan begitu tak payah kenang jasa. Saya tidak kata untuk kenang budi, saya minta tolong supaya Rantau undi saya. Saya tidak pernah ungkit apa-apa.

“Saya tidak pernah kata pengundi Rantau harus undi saya kerana saya sudah banyak tabur bakti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Shamsul dalam satu kenyataan semalam berkata, perbuatan Mohamad yang didakwa cuba meraih undi dengan menyenaraikan segala jasa-jasa sebelum ini saling tak tumpah seperti apa yang telah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Timbalan Menteri Industri Utama itu turut berkata, langkah Mohamad itu dilihat sebagai terdesak dan memalukan diri sendiri memandangkan adat Melayu tidak sekali-kali mengajar bangsanya menuntut supaya dikenang perkara baik yang telah dilakukan. -MalaysiaGazette