Ayatollah Ali Khamenei Foto Agensi

DUBAI – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa Iraq supaya meminta askar Amerika Syarikat keluar dari negara itu secepat mungkin.

Gesaan itu telah disampaikan semasa lawatan Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi – menunjukkan pengaruh Tehran yang kuat di Baghdad walaupun menghadapi tekanan daripada Washington.

Iran dan Amerika Syarikat telah bersaing kuasa di Iraq sejak pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat pada 2003 yang menggulingkan diktator Saddam Hussein.

Ramai pemimpin Iraq, dari majoriti Syiah, mempunyai hubungan rapat dengan Iran – kuasa utama Syiah di Timur Tengah.

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, kedua-duanya – Iran dan Amerika Syarikat membantu Iraq mengalahkan militan IS yang menawan satu per tiga Iraq pada tahun 2014.

“Anda mesti memastikan Amerika Syarikat menarik balik tentera mereka dari Iraq secepat mungkin kerana ia akan menjadi lebih sukar jika mereka terlalu lama.

“Kerajaan Iraq, Parlimen dan aktivis politik di negara anda tidak diingini untuk Amerika … dan mereka merancang untuk menghapuskan mereka daripada politik Iraq,” kata Khamenei.

Sempena lawatan Abdul Mahdi itu, Presiden Hassan Rouhani meminta Iran dan Iraq meluaskan rundingan gas dan elektrik dan memacu perdagangan dua hala sehingga mencecah AS$20 bilion.

“Rancangan untuk mengeksport elektrik dan gas serta minyak berterusan dan kami berharap peluasan ini bukan sahaja untuk dua negara ini tetapi negara-negara lain di rantau ini,” kata Rouhani.

Pada masa ini, dagangan gas dan elektrik antara dua negara itu bernilai AS$12 bilion. – MalaysiaGazette