Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Calon BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2019

PRK RANTAU – Ceramah Barisan Nasional (BN) yang menampilkan calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan disulami dengan suasana yang mencuit hati.

Sebaik majlis mesra bersama Tok Mad di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Lalang bermula, pengacara yang ingin memperkenalkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tersilap menyebut kerusi yang disandang oleh beliau.

“Dipersilakan saudara Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Tampin memberikan sepatah dua kata,” kata pengacara majlis.

Sebaik menerima mikrofon, Khairy pantas membuat komen berseloroh.

“Tau lah Tok mad nak tanding Rembau, tapi awal sangat tu,” katanya di hadapan Mohamad yang jelas tersenyum bersahaja.

Khairy berkata demikian selepas pengacara majlis tersebut salah menyebut beliau Parlimen Tampin.

Ia disambut dengan gelak tawa dan tepukan gemuruh kira-kira 500 penyokong BN dan pengundi Rantau.

Minggu lalu, Mohamad secara tiba-tiba membuat kenyataan bahawa beliau menaruh harapan untuk bertanding di kerusi Parlimen selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Rasa-rasanya PRU-15 saya tidak akan lagi bertanding di Rantau, saya akan bertanding di Parlimen pulakan.

“Tapi bertanding di Rantau, Parlimen pun bertanding juga kan, takkan sudah dapat ‘girlfriend’ baharu, orang tua kita tinggalkan,” katanya sewaktu berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, minggu lalu.

Khairy ketika mengulas perkara tersebut menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan empat mata sekiranya Mohamad tetap mahu bertanding kerusi Parlimen.

“Boleh, tapi kita kena bincang dulu,” balas Khairy. – MalaysiaGazette