Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) di Auditorium Hospital Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini memberi penghargaan kepada kepada rakyat Malaysia kerana tidak membuat pengeluaran besar-besaran daripada agensi itu sebagaimana yang digempar-gemburkan pihak tertentu.

Mujahid berkata, bukan sahaja dakwaan itu tidak berasas bahkan sejak kadar hibah rendah itu diumumkan, TH menerima deposit caruman baharu dan ini membuktikan usaha pemulihan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diyakini rakyat.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba menimbulkan satu fitnah kononnya cawangan tak cukup duit, sebab kita ada bilik 24 jam mengawal semua kaunter TH di seluruh negara.

“Berhentilah, jangan buat fitnah ini. Urus niaga TH berjalan seperti biasa di semua cawangan dan tiada pengeluaran luar biasa dilakukan. Malah saya dimaklumkan ada cawangan-cawangan menerima caruman baharu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TH dan usaha pemulihan yang dilakukan melalui barisan pengurusan baharu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (Ramah) di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said; Pengarah Institut Kanser Negara, Dr Asmayani Khalib dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Jumaat lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Mujahid ketika pengumuman hibah itu berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Mujahid juga memberi jaminan bahawa wang pendeposit bakal jemaah haji TH selamat malah kerajaan sudah membuat suntikan dana bagi memastikan agensi itu kekal kukuh menjaga kebajikan pencarumnya.

“Kita bukan sahaja memastikan wang mereka selamat tetapi TH bersama kerajaan komited untuk membawa institusi itu lebih maju ke hadapan agar pendapatan dapat dijana dengan lebih mampan bagi mengoptimumkan pulangan mereka demi membantu umat Islam.

“Bagi memulihkan TH, kerajaan akan memberi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion ke dalam TH.

“Kerajaan akan memberikan peruntukan sebanyak RM500 juta pada 2020 dan seterusnya RM1.73 bilon setahun mulai 2021 sehingga semua suku ditebus semula,” katanya. – MalaysiaGazette