sawit
Gambar hiasan

JAKARTA/BRUSSELS – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menandatangani sepucuk surat serta menghantar delegasi ke Brussel bagi membantah rancangan Kesatuan Eropah (EU) berhubung cadangannya untuk menghapuskan penggunaan minyak sawit untuk biodiesel.

Surat tersebut telah dihantar kepada EU pada hujung minggu lalu, kata menteri kordinasi hubungan maritim yang turut menjaga isu-isu alam semulajadi, Luhut Pandjaitan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi kandungan surat berkenaan.

Delegasi-delegasi dari kedua-dua negara turut tiba di Brussel bagi memulakan lawatan rasmi pada Isnin dan Selasa.

Menurut menteri kordinasi hubungan ekonomi Indonesia, Darmin Nasution, negara tersebut pasti akan memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) apabila peraturan baharu itu dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Tan Yew Chong berkata, Malaysia juga akan melakukan perkara yang sama.

Misi bersama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Kelapa Sawit yang merangkumi Colombia itu turut mengadakan  mesyuarat-mesyuarat dengan pegawai-pegawai, pembuat dasar dan kerajaan negara-negara EU untuk menyampaikan kekecewaan mereka serta menentang akta yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Eropah.

Akta berkenaan akan menjadi undang-undang kecuali majoriti Parlimen Eropah atau kumpulan negara-negara EU menentangnya.

Setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan mereka akan melakukan sedemikian. – Reuters