Foto Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah

KUALA LUMPUR – Kedah kini kehilangan jurulatih, Aidil Sharin selama dua minggu bagi saingan Liga Super akan datang.

Ini kerana Aidil sedang menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 selama 11 hari di sini bermula semalam.

Namun ketiadaan pengendali dari Singapura itu tidak menjadi masalah kerana bakal memberi ruang buat penolongnya, Victor Andrag untuk memimpin skuad Helang Merah.

Jumaat ini Kedah bakal menyambut kedatangan finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu FC di Darul Aman sebelum bertemu PJ City FC pada Selasa, juga di halaman sendiri.
Mereka ketika ini sedang melalui empat perlawanan tanpa 3 mata dan kalah dua daripadanya. Ini pastinya meresahkan bukan sahaja penyokong malah pengendali mereka.

Victor bukanlah asing di kem Kedah kerana sudah lama berada di belakang tabir pasukan, sebelum ini mengendalikan skuad Piala Presiden Kedah untuk meraih naib juara kejohanan.

Pengendali yang berusia 43 tahun itu juga adalah antara lagenda Kedah yang telah bersama-sama mencipta sejarah kejuaraan Double Treble pada musim 2007 dan 2008. – MalaysiaGazette