Lawatan Mahkamah Koroner untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai lokasi kejadian rusuhan dan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Balai Bomba Subang Jaya, Selangor pada 12 Februari lalu. foto IQBAL BASRI.

SHAH ALAM –  Daun pintu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diterajang lebih dari seorang individu sebelum terkena Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Itu pandangan saksi ke-29 inkues kematian anggota bomba berkenaan yang juga bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.

Beliau aberkata demikian hasil rujukan dan laporan berdasarkan kecederaan yang dialami Muhammad Adib dan lakonan semula bersama-sama pasukan bomba.

“Ada beberapa orang di situ (tempat kejadian) meluru nampak mangsa di bahagian hadapan terus tarik dia keluar, arah tarikan tadi itu adalah keluar dan ke bawah lebih kurang 45 darjah.

“Bila macam itu disagat di pinggang belakang oleh latcher. Kepala dia keluar dari pintu baru daya impak daripada pintu kena bahu kanan lepas itu, daya tarikan tegak ke atas impak sekali lagi pintu kena ruang tombol getah berbentuk tiga segi daripada daun pintu.

“Daun pintu melantun keluar dan ditendang sekali lagi atau orang pertama tendang diikuti orang kedua kena lagi sekali (tendang) yang tarik tadi mangsa hentak ke daun pintu ini mungkin statik atau bergerak sedikit.

“Bila dihentak cukup kuat, (ia) mematahkan tulang rusuk satu sampai tujuh belakang kirinya,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Shahrom mengukuhkan laporannya berdasarkan dapatan kecederaan di bahu kanan Muhammad Adib yang turut menunjukkan corak segi tiga yang terhasil daripada tombol getah yang berada di bahagian hujung daun pintu yang selepas kejadian itu telah tertanggal.

Lakonan semula itu melibatkan anggota bomba dan kenderaan yang terlibat yang dibuat Shahrom berdasarkan bukti yang dibentangkan di mahkamah sebelum ini.

Malah beliau berpendirian Adib juga diheret kenderaan EMRS selepas jatuh.

“Kemudian Adib jatuh ke jalan raya terus pegang kolar baju Adib tarik heret Adib. Jadi (berdasarkan) lakonan semula itu, saya berpendapat yang saya buat benar untuk sains forensik masa kini,” tambahnya.

Kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield itu, menurutnya, boleh berlaku dalam masa lima hingga lapan saat, sewaktu EMRS mengundur.

Mengulas lanjut, Muhammad Adib tidak akan mengalami patah tulang rusuk di dada kanan dan juga sebelah belakang  jika terhumban mengenai bahu jalan atau objek yang lebar.

“Dalam hal ini, tidak boleh patah langsung (jika terhumban ke bahu jalan). Saya berpendapat, dalam hal ini tidak cukup daya untuk mematahkan.

“Kalau mengundur laju betul-betul, dan dia (Muhammad Adib) berdiri di situ, langgar begitu akan terpelanting. Maksudnya daya sangat kuat tapi dalam hal ini, lakonan semula), saya banding dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) punya kamera litar tertutup dan video (kenderaan) mengundur ke belakang (FRT dan EMRS).

“Jadi tidak begitu kuat mangsa terpelanting untuk terhempas ke bahu jalan dan mematahkan bahagian depan dada,” ujar Shahrom lagi.

Beliau merupakan saksi yang dipanggil oleh peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Malah, menurutnya, patah di kedua-dua belah rusuk pada mangsa tidak akan terhasil jika seseorang jatuh daripada satu kawasan tinggi. 

Turut hadir dalam kamar mendengar keterangan bekas pakar forensik yang pernah menjadi saksi di Mahkamah di London dan beberapa kes di dalam negara itu adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi dan Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood.-MalaysiaGazette