Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2019.

SEREMBAN – Proses rundingan di antara China dan Malaysia yang diketuai Tun Daim Zainuddin diharap mencapai keputusan muktamad dalam masa terdekat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia masih berada dalam proses rundingan dan belum mencapai sebarang kesepakatan.

“Ia masih dalam proses rundingan, yang mana Tun Daim mengetuai delegasi ke China untuk memuktamadkan butiran termasuklah mengurangkan kos pembinaan projek itu serta jajaran baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau di hadapan Pasar lama Taman Pasir Mas Rantau malam tadi.

Azmin percaya rundingan itu dapat mencapai satu kerangkuman dalam masa terdekat kerana Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berlepas ke China pada hujung April ini.

“PM akan menghadiri Forum One Belt One Route di China dan kami mahu kedua-dua negara meneruskan proses itu demi pengukuhan hubungan dua hala,” tegasnya lagi- MalaysiaGazette