Datuk Md. Jais Sarday

KUALA LUMPUR – Sultan Johor dicadangkan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Negeri.

Cadangan itu berasaskan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Johor tidak dapat melihat dengan jelas hala tuju pentadbiran negeri meskipun setelah 10 bulan memerintah.

Malah, PH tidak mempunyai barisan Ahli Dewan Undangan Negeri sedia ada yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk memimpin kerajaan.

Oleh hal yang demikian, PH boleh membariskan bakal pimpinan negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri itu.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, PRU itu boleh memberi peluang kepada rakyat sekali lagi untuk memilih kerajaan yang lebih diyakini.

Malah, PRU Negeri juga dapat membersihkan dakwaan yang kononnya pihak istana terlibat dalam politik semasa.

“Saya dengan rasa rendah diri berpandangan bahawa DYMM Tuanku Sultan Ibrahim, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Johor serta jajahan takluknya boleh membubarkan Dewan Negeri Johor, mengikut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, yang menyatakan: ‘Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan dewan negeri’,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Md Jais berkata, dalam konteks Malaysia Baharu yang digembar-gemburkan oleh Pakatan Harapan seharusnya gabungan itu mementingkan rakyat dari soal politik semata-mata.

“Saya yakin, persaingan sihat dalam Pilihan Raya Umum Negeri akan memberikan ruang kepada Pakatan Harapan menjelaskan halatuju kerajaannya, di samping Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas) menawarkan gagasan baru,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Md Jais mendakwa kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Johor bermula sejak perlantikan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor.

Ramai yang mempertikaikan kebolehan Osman mentadbir kerajaan negeri berasaskan kepada latar belakangnya sehinggalah akhirnya mengakui sendiri tidak menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Beliau juga tidak dapat menunjukkan dengan jelas halatuju pentadbirannya dan gagal membuat pertimbangan yang tepat dalam menguruskan pentadbiran kerajaan, termasuklah menangani tragedi Pasir Gudang baru-baru ini.

Semua perkara itu menyebabkan seluruh rakyat Negeri Johor gelisah kerana pimpinan negeri dilihat tidak ada kredibiliti langsung untuk mentadbir kerajaan yang mendapat jolokan ‘Harimau Selatan.

Apatah lagi Johor berjiran dengan Singapura yang kecil tapi dikatakan lebih maju, Johor sepatutnya memanfaatkan ekonomi sempadan supaya alirannya tidak sehala sahaja. – MalaysiaGazette