Azmin Ali
Mohaned Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali positif dan komited dalam memastikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dapat dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Antara yang akan dipulihkan termasuk aliran tunai yang dianggap antara cabaran yang perlu dihadapi ketika ini.

Jelas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kerajaan juga bersetuju untuk memberi dana sebanyak RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif.

Inisiatif-inisiatif itu termasuk melibatkan penambahbaikan tadbir urus, penstrukturan dan pengukuhan kewangan dan operasi.

“Kegagalan menstrukturkan semula pinjaman Felda akan mendedahkan Felda kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah berjumlah RM2.5 bilion untuk tahun 2019.

“Pada tahun 2018, Felda terpaksa melunaskan RM1.4 bilion bayaran pinjaman dan kadar faedah kepada institusi kewangan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Terdahulu, Azmin membentangkan Kertas Putih Felda selepas sesi pertanyaan lisan persidangan pagi tadi di Dewan Rakyat berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. – MalaysiaGazette