Osman Sapian

RANTAU – Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak Istana Johor tidak akan dengan sewenangnya nak melantik atau menjatuhkan seseorang pemimpin tanpa sebab tertentu.

Menurut beliau, pihak istana juga tidak akan campur tangan mengenai pentadbiran negeri sekiranya ia ditadbir dengan baik dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“(Sultan Johor) mesti ada sebab, bukan campur tangan melulu begitu sahaja, ingat istana mereka tidak pandai, mereka cerdik juga, mereka ada hak untuk menilai prestasi menteri besar.

“Saya tidak fikir pihak istana dengan sewenangnya nak melantik atau menjatuhkan seseorang pemimpin, Raja bertanggungjawab sebagai penaung kepada rakyat, sama ada negeri atau pusat.

“Kalau (istana) tengok kerajaan kepimpinan negeri itu merosot, tidak memenuhi aspirasi sasaran pembangunan,kebajikan rakyat, tentu mereka akan memberi pandangan dan teguran, kalau mereka tak tegur mereka pula tidak bertanggungjawab,” katanya ketika media selepas menghadiri ceramah di Kampung Kuala Sawah.

Tajuddin hadir bagi membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam tadi.

Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian mengulas kemelut Menteri Besar yang melanda kerajaan Negeri Johor dengan menyaksikan Datuk Osman Sapian meletak jawatan selepas 11 bulan mentadbir negeri.

Tajuddin turut menbuat telahan bahawa keputusan istana mencadangkan supaya menteri besar ditukar selepas menilai prestasi Osman yang gagal menerajui pentadbiran negeri Johor.

Menurut beliau lagi, mana-mana individu atau pihak tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan istana yang mahukan menteri besar ditukar.

Keputusan perletakan jawatan Osman diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan kepada kerajaan pusat.

Tunku Ismail juga berharap menteri besar yang baharu bukanlah “yes man” Putrajaya.

Beliau berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah meneliti untuk menukar menteri besar “sejak berbulan lalu”.

“Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan ‘mileage’, kononnya dia arahkan,” katanya di Twitternya. -MalaysiaGazette