Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Kewangan Islam Kuala Lumpur 2019 di Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pemain-pemain perbankan dan kewangan Islam perlu membuat pelaburan kukuh dalam teknologi untuk mengubah cara menjalankan perkhidmatan perbankan dan menyebarkan produk dengan lebih cekap dan berkesan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia sudah mencapai tahap di mana pelanggan dapat melaksanakan transaksi kewangan dan bukan kewangan dalam talian, dari mana-mana lokasi dengan bantuan Internet dan perbankan mudah alih.

Selaras dengan perbankan media sosial, pengguna digital lebih suka melakukan penyelidikan mereka sendiri sebelum membuat keputusan yang terbaik produk atau perkhidmatan yang sesuai yang ditawarkan oleh bank mereka.

“Pengguna boleh berinteraksi dalam talian atau mengadakan pertemuan dengan pengurus perhubungan melalui
teknologi komunikasi.

“Melihat perkembangan ini, semakin banyak bank Islam menawarkan perkhidmatan pelanggan melalui saluran digital,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Perbankan Islam Kuala Lumpur Kali Ke-15 di sini.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya penyerapan kemampanan dan teknologi pintar dalam sektor kewangan dapat mengubah masyarakat dunia ke tahap yang lain.

“Melaksanakan perbankan dengan teknologi pintar akan menjadi wajah baharu bagi setiap tawaran kewangan pada masa depan.

“Hubungan intim antara kemanusiaan dan kewangan merupakan agenda yang akan memberi kelebihan kepada keseluruhan ekosistem,” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette