Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kandungan kertas putih Felda yang masih berstatus ‘embargo’ sehingga pagi tadi sebenarnya satu kesalahan serius.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Parlimen memandang serius tindakan muat naik kandungan tersebut dalam laman sosial Najib malam tadi dan beliau akan dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan mesyuarat.

Tindakan tegas yang di ambil itu juga akan menjadi satu peringatan kepada semua wakil rakyat lain supaya tidak melakukan tindakan sedemikian pada masa hadapan.

“Saya lihat ini sebagai sesuatu yang sangat serius. Najib sebenarnya bukan seorang wakil rakyat yang baharu sebaliknya seseorang satu ketika dulu merupakan Perdana Menteri.

“Tanpa mengambil kira peraturan Dewan Rakyat, beliau mencetak satu kertas yang telah embargo. Kita pandang serius perkata ini dan akan ambil tindakan,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu kerajaan mengambil tindakan keras terhadap Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan (BN) kerana mendedahkan sebahagian daripada Kertas Putih Felda sebelum ianya dibentangkan.

Semalam Najib bertindak membela diri dengan memuat naik dokumen bergambar yang menunjukan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam Peraturan Mesyuarat 95A termaktub mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan yang menghina Dewan Rakyat. –MalaysiaGazette