KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta mendengar pandangan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berhubung pelaksanaan levi perlepasan oleh Malaysia tidak lama lagi.

Menurut IATA, penguatkuasaan levi perlepasan akan mengurangkan jumlah pelanggan yang berlepas dari Malaysia menggunakan pengangkutan udara sehingga 835,000 orang setahun.

Ia sekali gus akan menyusutkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor penerbangan sehingga AS$419 juta dan pengurangan sehingga 5,300 pekerjaan.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang pernah mempersoalkan pelaksanaan levi itu berkata, kalau kerajaan tidak mahu mendengar pandangannya disebabkan malu atau ego, tidak mengapa.

Tetapi dengarlah pandangan orang lain.

Ini kerana, IATA bukan bukan parti pembangkang.

“Melainkan kerajaan Pakatan Harapan memang berniat mahu membebankan rakyat dan merosakkan sektor pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

MGF17032019_PC MCA_08
Wee Ka Siong

Ka Siong pernah mempersoalkan tentang Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 yang didakwa tidak digubal dengan baik kerana tidak dinyatakan dengan jelas bahawa levi ini hanya dikenakan ke atas penumpang penerbangan sahaja.

Beliau khuatir ianya turut akan dikenakan ke atas setiap orang yang meninggalkan Malaysia melalui mod pengangkutan lain seperti kapal, keretapi dan kenderaan lain pada masa akan datang.

Pada waktu yang sama, wujud pertindihan percukaian dikenakan dalam perkara ini, iaitu airport tax, fi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan levi pelepasan.

Sehubungan itu, beliau meminta levi itu disemak semula supaya tidak membebankan rakyat.

Selain itu, katanya, sektor pelancongan menyumbang pendapatan ekonomi negara dan beliau bimbang sekiranya akta yang banyak lompong seperti levi perlepasan itu dilaksanakan maka ia akan menjejaskan kemasukan pelancong asing ke Malaysia.

Pada 2017, sektor penerbangan Malaysia menggaji 450,000 pekerja dengan menyumbang AS$10.1 bilion bagi KDNK negara.

Levi pelepasan itu dilapor berkuat kuasa 1 Jun dengan RM20 dikenakan bagi setiap pelanggan yang ingin berlepas ke negara-negara Asean dan RM40 bagi negara lain. – MalaysiaGazette