Tony Pua

KUALA LUMPUR – Setelah mendiamkan diri berhubung kontroversi belian merah jambu yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor, akhirnya Tony Pua membuka mulut.

Tony adalah individu yang didakwa melakukan fitnah berhubung barang kemas berkenaan.

Ahli Parlimen Damansara itu meminta Datuk Seri Najib Razak agar tidak cuba mengelirukan orang ramai bahawa tidak wujudnya sebarang pembelian belian merah jambu menggunakan dana 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB).

Menurutnya, Najib cuba mengelirukan umum dengan dua ‘cerita’ berbeza berhubung belian merah jambu itu bagi mendapatkan simpati kononnya telah menjadi mangsa dianiaya.

“Najib, anda jangan cuba sembunyikan fakta yang sebenarnya tidak boleh disembunyikan. Biar saya cerita balik, terdapat dua versi penceritaan yang berbeza kini sedang dimainkan di luar sana.

“Najib hanya bercerita tentang berlian dan barang kemas yang telah dibawa masuk oleh ejen ke Malaysia bagi tatapan Rosmah Mansor. Tetapi kita sedang bercakap tentang skandal wang penyewelengan 1MDB yang digunakan untuk beli.

“Berlian merah jambu yang mempunyai 22 karat ditempah oleh ahli perniagaan Jho Low untuk Rosmah Mansor kemudiannya dibayar menggunakan wang 1MDB. Ini cerita yang betul, jangan kelirukan kerana fakta itu ada,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Tony Pua, kes ini juga telah diperdengarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam pendakwaan mereka sebelum ini dengan bukti pembelian yang dibeli daripada pereka terkenal, Lorraine Schwartz Inc di New York.

“Tepat pada 23 September 2013, Schwartz telah bertemu dengan Rosmah Mansor dan juga Jho Low di Hotel Mandarin Oriental New York bagi menunjukan berlian yang telah siap di reka itu.

“Schwartz juga telah mengeluarkan dua keping invois dengan pembelian ini. Satu bertarikh 3 Julai 2013 dengan jumlah AS$23 juta (RM97 juta) untuk jenis 22.17 carat Natural Fancy Intense Pink VS2 clarity (GIA#2115637296) Cut-Cornered Square Modified Brilliant Cut diamond.

“Keduanya, bertarikh 31 julai 2013 dengan jumlah pembelian AS$4.3 juta (RM17.7 juta) untuk rantai berlian yang akan memegang berlian di atas, yang bertulis ‘one graduate fancy intense pink and oval white diamond necklace with interchangeable pendant to ring’.

“Semua ini ada direkodkan oleh DOJ kesemua invois tersebut telah dibayar dengan dana yang disalurkan daripada RM2.6 bilion yang telah dimasukan ke dalam akaun peribadi Najib pada tahun 2013,” dakwa Tony.

Katanya lagi, mengapa sehingga kini suami isteri (Najib, Rosmah) tidak tampil membuat penafian berhubung pembelian-pembelian ini di New York pada 2013.

“Jangan cuba kelirukan umum dengan cerita kamu kononnya teraniaya. Apa sebab sehingga kini tidak menafikan sebarang dakwaan ini,” soalnya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/13/wujud-transaksi-pembelian-pink-diamond-guna-wang-1mdb-polis/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/pink-diamond-alhamdulillah-semua-sudah-terdedah-rosmah/