Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Polis berkata terdapat bukti jejak kewangan transaksi pembelian berlian merah jambu yang berharga AS$23 juta daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang 1MDB.

Sehubungan itu, polis menyangkal penafian isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian berlian merah jambu berharga AS$23 juta.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Khalil Azlan Chik berkata, walaupun berlian merah jambu itu gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti yang terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya.

Rabu lalu, Rosmah melahirkan rasa lega selepas perkara sebenar di sebalik fitnah pembelian permata merah jambu yang terpalit dengan dirinya terdedah akhirnya.

Beliau menegaskan, walaupun banyak pihak sudah mengemukakan permohonan maaf terhadap beliau dan suaminya, Datuk Seri Najib Razak, namun perkara terpenting ialah pihak yang membuat fitnah itu memohon maaf kepada rakyat.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah mengesahkan tiada sebarang pembelian berlaku di antara isteri seorang VVIP dengan ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu dan barangan kemas lain ke Malaysia.

Amiruddin mengesahkan ejen jualan berkenaan telah mengisytiharkan barangan berharga berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika membawa masuk dan ketika meninggalkan negara ini. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/pink-diamond-alhamdulillah-semua-sudah-terdedah-rosmah/