Datuk Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memperkenalkan medium mesej dalam Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mazlan Mansor berkata, CCID Infoline diperkenalkan sejajar dengan perkembangan trnd teknologi terkini.

Penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatApss itu membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat, aduan dan pertanyaan melibatkan jenayah komersil.

Ia bagi menambahbaik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat.

“Ia sebagai medium untuk menyemak dan mendapatkan pengesahan berkenaan kes-kes jenayah komersil selain menyemak laporan polis yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan semakan, kata Mazlan, orang ramai hanya perlu mengemukakan maklumat seperti nombor laporan polis dan melakukan screen shot laporan berkenaan.

Ia katanya boleh dijadikan medium bagi orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kes khususnya jenayah sindiket seperti Macau Scam, jenayah e-dagang, tipu pinjaman serta penipuan pemalsuan dokumen.

Kaedah penggunaan CCID Infoline iala menggunakan nombor 013-211 1222 dengan menggunakan mesej sahaja dan waktu operasi ialah dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Tempoh waktu itu bagi tujuan penyediaan laporan harian dan setiap aduan akan diberikan tempoh masa tertentu.

Terma dan syarat mesti menggunakan nombor telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi tempatan dan kesahihah maklumat akan disemak terlebih dahulu.

“Maklumat butiran pengaduan mestilah bukan bersifat jahat, tohmahan tidak berasas, guna perkataan lucah dan bertujuan menjatuhkan kredibiliti individu atau organisasi,” ujarnya.

Sebarang gurauan tidak akan dilayan dan jika ada laporan palsu tindakan akan diambil.

Setiap aduan akan diberi peringatan mesra dan jika ada sebarang kemusykilan boleh melayari http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.– MalaysiaGazette