Pemilu
Setiap perniagaan berlumba-lumba menawarkan harga istimewa kepada pelanggan yang telah mengundi.

JAKARTA – Esok hampir 200 juta pengundi berdaftar di Indonesia bakal menunaikan tanggung jawab mereka untuk memilih pemimpin di dalam proses Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (PilPres) yang buat pertama kalinya dijalankan serentak pada tahun ini.

Pada saat para calon dan parti yang bertanding mengejar minit-minit terakhir ini untuk berkempen, golongan peniaga menggunakan kesempatan itu untuk mempromosikan perniagaan mereka dengan menawarkan pelbagai diskaun menarik bagi menyemarakkan pesta Pemilu 2019.

Malah Pemilu dianggap sebuah pesta kegembiraan dan ada yang menggelarkannya sebagai pesta demokrasi.

Esok, kafe, restoran, hotel, pusat peranginan dan gedung membeli-belah menawarkan promosi khusus dengan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pelanggan.

Mereka hanya perlu menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat ungu atau biru sebagai bukti telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Indonesia pendokong demokrasi.

Bagi Pengurus Operasi pusat karaoke Inul Vista Semarang, Fic Indarto, pihaknya memberikan potongan 50 peratus kepada harga bilik selain 20 peratus diskaun ke atas harga makanan dan minuman.

“Kami menggelarkannya promo Pemilu.

“Selain itu juga ada potongan harga 20 peratus untuk makanan dan minuman.

“Tentu saja syaratnya harus menunjukkan jari berwarna ungu sebagai tanda telah memilih. Ini kan pesta demokrasi, jadi selayaknya kita semua merayakannya bersama,” ujar Indarto, katanya.

Syarikat e-hailing Grab pula menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi perkhidmatannya termasuk perkhidmatan GrabFood dan Grab Express di sepanjang minggu pilihan raya ini.

Tidak hanya itu, GrabFood secara khusus mengadakan permainan interaktif “Ikuti Pemilu Menu GrabFood” yang mana anda boleh memilih menjadi “Team Manis” atau “Team Gurih”.-Agensi