Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pendidikan mahu menukar Program Permata Negara (Permata) kepada Genius menghairankan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ini kerana, katanya, tindakan itu tidak selari dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang berjimat cermat.

Selain itu, beliau mendakwa tindakan dan keputusan PH ini dilihat tidak dibuat secara teliti dan menyeluruh termasuk mengambil kira implikasi kewangan.

“Tidakkah dengan menukar nama ini akan melibatkan kos seperti pakaian pelajar, papan tanda dan lain-lain kos penjenamaan semula?

“Eh, bukankah kerajaan PH sekarang sedang berjimat cermat?,” soalnya.

Presiden MCA itu percaya ramai rakyat hairan dengan kerajaan PH yang terlalu taksub dengan menukar program atau dasar yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dahulu.

Sedangkan, katanya, pemilihan perkataan genius telah dipertikaikan banyak pihak berbanding perkataan permata lebih cocok dengan program yang dicetuskan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

“Tidakkah nama Permata itu lebih baik? Ia juga secocok dengan tema mereka iaitu “Setiap anak PERMATA negara”.

“Sekarang sudah tukar, ia akan disebut, “Setiap anak GENIUS negara”. Tak rasa pelik ke?,” tanya Ka Siong lagi sambil meminta Menteri Pendidikan lebih genius sepadan dengan portfolio yang dipegangnya.

Artikel berkaitan:Permata miliki nilai estetika lebih tinggi berbanding genius

Genius: Kenapa nak tunjukkan kita miskin bahasa?

Idea paling genius kerajaan PH setakat ini – KJ

Terima kasih PH iktiraf program Permata – Najib

Facebook Kementerian Pendidikan dihujani komen pertahan Permata

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, permilihan nama baharu itu secara tidak langsung membuktikan segala tuduhan dan persepsi yang dilemparkan terhadap BN berhubung Permata tidak berasas.

Sebaliknya, Program Permata Negara adalah baik dan bermanfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/permata-dijenamakan-semula-kepada-genius/