Gobind
Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan kemudahan teknologi mudah alih generasi 5 atau 5G secara menyeluruh menjelang 2021.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, projek perintis 5G itu telah pun bermula di Cyberjaya dan Putrajaya awal bulan ini.

Menurut beliau, projek itu akan dilaksanakan secara berterusan selama enam bulan akan datang.

“Cyberjaya dan Putrajaya adalah tempat di mana syarikat telekomunikasi dan lain-lain industri menjelajah keupayaan teknologi 5G.

“Ujian ini amat penting bagi kita untuk menentukan cara terbaik untuk memanfaatkan perkembangan teknologi baru ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Pameran 5G Malaysia akan berlangsung selama dua hari di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 di sini bermula Sabtu ini.

Pameran anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu menampilkan pelbagai perkembangan terkini antaranya kenderaan tanpa pemandu yang menggabungkan keupayaan sensor, kamera, radar dan kecerdasan buatan (AI) berteknologi 5G.

Antara teknologi yang akan dipamerkan adalah aplikasi kehidupan nyata termasuk konsultasi dan diagnosis kesihatan, pembelajaran simulasi, e-sukan, pameran dron dan robotik yang dipamer oleh pelbagai syarikat telekomunikasi dan institusi pengajian tinggi.

Penyertaan 11 syarikat utama pada kali ini termasuk Celcom, Digi, Ericsson, Huawei, Malaysia Automotive Robotics IoT Institute (MARii), Maxis, Nokia, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ZTE dan Altize.

Sementara itu, TM akan mempamerkan pelbagai produk terbaharu menggunakan teknologi 5G seperti rumah pintar, sistem trafik, industri pintar 5G dan robotik. – MalaysiaGazette