Wisma Putra

PUTRAJAYA – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir dipanggil oleh Wisma Putra pada Rabu (17 April) untuk menjelaskan mengenai keputusan kerajaan AS memasukkan Malaysia dalam senarai “Indikator K” nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara.

Pemangku ketua setiausaha Kementerian Luar Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin menyerahkan nota bantahan kepada duta AS itu, yang menyatakan bantahan kerajaan Malaysia terhadap keputusan AS.

Kementerian Luar atau Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini, khususnya keadaan keselamatan di timur Sabah yang semakin baik.

“Duta AS mengambil maklum mengenai bantahan dan kebimbangan kerajaan Malaysia dan akan menyampaikan bantahan itu dengan sewajarnya kepada Washington, kata kenyataan itu.

Malaysia adalah antara 35 negara yang disenaraikan di bawah “Indikator K” yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS di bawah nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 9 April.

Berdasarkan laporan, indikator itu mengenal pasti negara-negara yang menghadapi “risiko penculikan atau dijadikan tebusan oleh pelaku jenayah dan pengganas”.

Semasa pertemuan itu, Wisma Putra berkata Duta AS menjelaskan bahawa nasihat perjalanan Amerika Syarikat mengkategorikan setiap negara kepada empat tahap, berdasarkan penilaian kerajaan AS terhadap keadaan keselamatan dan sekuriti.

“Pada tahun-tahun sebelumnya, Malaysia secara keseluruhan diletakkan di Tahap 1, dikhaskan untuk negara yang paling selamat dan mempunyai risiko paling rendah.

“Bagaimanapun, ia menjelaskan bahawa timur Sabah tertakluk kepada “Indikator K” disebabkan oleh kebimbangan AS mengenai potensi penculikan berpotensi dan dijadikan tebusan.

Bagi mengimbas kembali nasihat perjalanan sebelumnya, kawasan itu tertakluk kepada indikator “C” (jenayah) dan “T” (keganasan) yang bersifat lebih luas.

“Timur Sabah tidak lagi tertakluk kepada kedua-dua indikator ini,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa ia akan memberi manfaat sekiranya, pada masa akan datang, kerajaan Malaysia dimaklumkan dahulu sebelum pengumuman serupa dibuat.

Kementrian Luar mengulangi bahawa keselamatan pelancong di seluruh Malaysia termasuk di timur Sabah terus menjadi keutamaan.

“Malaysia telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan di timur Sabah. Ini berdasarkan penurunan signifikan kes-kes penculikan kepada hampir tiada kes pada tahun lepas,” kata Wisma Putra.

Malaysia terus menjadi tarikan pelancong dari Amerika Syarikat apabila pada 2018 mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong dari Amerika Syarikat sebanyak 27.9 peratus, menjadikan jumlahnya mencapai 253,384 orang.

— BERNAMA