Kerja-kerja menambak laut di Maldives

MALE – Maldives telah membatalkan undang-undang yang membenarkan warga asing memiliki tanah di pulau tropika itu berikutan kekhuatiran kerajaan mengenai potensi kehilangan kedaulatan.

Maldives yang terletak berhampiran laluan perkapalan yang sibuk mendapat perhatian selepas China meningkatkan pembangunan infrastruktur, namun ia mendorong bantahan daripada rakan tradisinya India.

Pada 2015, parlimen negara itu yang dikuasai penyokong bekas Presiden, Abdullah Yameen menukar undang-undang pemilikan tanah bagi membolehkan kerajaan menjual tanah kepada warga asing yang bersedia melabur lebih AS$1 bilion, selagi ia merupakan kawasan laut yang ditambak, lapor Reuters.

Sebenarnya tiada tanah yang dijual kepada warga asing sejak undang-undang itu berkuatkuasa empat tahun lalu.

Langkah Yameen yang pro China menimbulkan kekhuatiran bahawa kuasa asing boleh menggunakan tanah seumpama itu untuk kegunaan tentera dan pada minggu ini parlimen Maldives mengambil langkah memansuhkan undang-undang itu yang selari dengan janji kempen Presiden Ibrahim Mohamed Solih yang berkuasa pada tahun lalu.

“Tanah adalah salah satu sumber paling berharga dimiliki warga Maldives dan jelas ia terhad. Pada dasarnya ia mempunyai hubungan dengan identiti kami dan adalah sukar untuk melihat identiti ini dijual sama seperti komoditi,” kata jurucakap presiden, Ibrahim Hood.

“Presiden faham hubungan dan sentimen ini yang mana mengapa beliau berikrar untuk melakukan pindaan perlembagaan,” kata Hood.

Sejak menjawat jawatan Presiden, pentadbiran Solih cuba mengimbangi hubungan dengan China dan India. Kerajaan itu telah berikrar untuk menyiasat beberapa urusniaga besar dengan China yang dilakukan oleh presiden terdahulu dan cuba menentukan hutang kewangan dengan Beijing.

Berikutan pembatalan undang-undang pemilikan tanah warga asing, kerajaan Maldives mengembalikan semula undang-undang lama yang mana tanah hanya boleh dipajak kepada warga asing untuk tempoh 99 tahun.

Arab Saudi juga berminat untuk melabur di pulau itu, kata jurucakap parti pemerintah, Parti Demokratik, Hamid Abdul Ghafor. – Agensi