Khairul Azwan Harun Zahid UMNO kuat
Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan seterunya, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun ‘berperang’ lagi gara-gara isu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Melalui ciapan di Twitter, Khairul Azwan atau Azwan Bro mendakwa kerajaan PH banyak membuat dasar yang tidak menentu dan tidak konsisten berhubung pelbagai isu terutama isu ekonomi negara.

“Flip-flop, pusingan U, dulu kini dan sana sini, tidak ada arah ekonomi yang jelas.

“Kemudian apabila pelabur mengatakan mereka tidak yakin dengan kerajaan yang dibayangi DAP (di mana) Menteri Kewangan memalukan mereka dan bukannya memberi jaminan kepada mereka,” katanya dalam status di Twitter.

Namun, kenyataan itu pantas ditepis Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH.

Syed Saddiq membalas dengan berkata, PH telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menyelamatkan negara.

“Flip flop? Kami menyelamatkan RM21.5 bilion, selamatkan warisan kebangsaan di Gombak daripada dimusnahkan dan menambah satu lagi negeri laluan ECRL.

“Dan juga dapatkan China untuk membeli minyak sawit tambahan bernilai RM3 bilion,” jawab Syed Saddiq.

Syed Saddiq dan Azwan Bro bertegang leher gara-gara isu polisi kitar semula.

Kedua-dua mereka asyik membalas ciapan di Twitter dengan Azwan Bro mendakwa kerajaan kitar semula polisi lama, malah banyak membuat pusingan U terhadap janji-janji yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette