Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy (kiri) beramah mesra dengan masyarakat orang asli pada Majlis Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbang setiap cadangan penambahbaikan untuk Orang Asli yang dicadangkan tetapi ia  bergantung kepada kemampuan semasa.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, komitmen kerajaan akan memastikan sasaran setiap Orang Asli menerima pembangunan khususnya pendidikan secara formal dicapai menerusi Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Menurutnya, pembangunan Orang Asli fokus kepada tujuh bidang utama antara pendidikan yang merupakan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, sejak berlaku peralihan kerajaan, perbincangan, perancangan serta gerak kerja terhadap usaha-usaha pembangunan dan peningkatan taraf
sosioekonomi masyarakat Orang Asli diberi penekanan serius.

“Ia termaktub di dalam Janji 38 di dalam Manifesto PH iaitu untuk membela nasib Orang Asal. Kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan rasionalisasi agensi dan jabatan persekutuan yang turut melibatkan JAKOA.

“Langkah ini meletakkan JAKOA, yang sebelum ini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri di bawah seliaan YB Senator P. Waythamoorthy selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap
masyarakat Orang Asli.

“Perpindahan ini bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menetapkan hala tuju dan fungsi yang bersesuaian dengan peranan JAKOA sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap masyarakat Orang Asli,” katanya ketika berucap dan merasmikan Konvensyen Masyarakat Orang Asli 2019 yang pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Mahathir juga berkata, sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam dalam pelbagai jurusan selain yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di universiti luar negara pada peringkat pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Ia sekali gus memberi isyarat kepada kerajaan bahawa masyarakat Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan.

Konvensyen bertemakan Memartabatkan Hak Orang Asli itu melibatkan lebih 1,400 komuniti Orang Asli bertujuan mendapatkan input dan maklum balas mereka dan pihak berkepentingan bagi mencapai resolusi ke arah penyediaan Pelan Pembangunan Orang Asli Nasional oleh kerajaan.

Ia tertumpu kepada tujuh fokus utama iaitu isu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan turut mengambil beberapa langkah yang dirasakan perlu untuk menaik taraf serta memperkasakan JAKOA  supaya ia lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Pencapaian tinggi dalam kalangan pelajar Orang Asli turut menghantar isyarat bahawa mereka sudah bersedia mempunyai pemimpin dan cerdik untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan lebih besar di dalam merangka hala tuju masyarakat Orang Asli dan negara.

Bagaimanapun jelas Mahathir, segala usaha dan program yang dirancang itu tidak akan terlaksana tanpa sokongan dan kerjasama dari seluruh masyarakat Orang Asli.

“Konvensyen ini menjadi amat penting kerana ia memberi peluang untuk kedua-dua pihak pelaksana dasar dan golongan sasaran menyuarakan pendapat dan adakalanya dasar yang baik, jika tidak diberi penerangan yang jelas, tidak akan diterima dengan baik atau menimbulkan penentangan.

“Maka konvensyen sebegini memberi peluang untuk penerangan yang lebih jelas untuk dasar-dasar sedemikian dan saya menyeru kepada semua terutamanya batin-batin dan penghulu-penghulu Orang Asli dapat menyuarakan pendapat dan pandangan supaya kita dapat memahami masalah dengan tepat dan seterusnya berusaha bersama untuk menjayakan program, dasar dan polisi yang bertujuan membantu menjayakan masyarakat Orang Asli.

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menjelaskan, setiap gerak kerja dan pembangunan yang direncanakan untuk Orang Asli adalah sejajar dengan pendekatan hak asasi manusia.

Katanya lagi, setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang akan memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada 18 suku kaum di Semenanjung Malaysia dengan tidak mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara-perkara asas berkaitan mereka.

“Kerajaan komited dengan projek pembangunan ini dan diharapkan kesemua kemudahan tersebut akan disediakan sepenuhnya 100 peratus, iaitu melibatkan kemudahan elektrik, air bersih dan terawat, perumahan dan kemudahan jalan raya yang sempurna,” katanya.

Setakat ini, kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan sebanyak 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 buah perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia.- MalaysiaGazette