Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Xavier Jayakuma (kanan) bersalaman dengan sebahagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli 2018 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2019.

BANGI – Putrajaya telah berjaya memuktamadkan sebanyak 74 peratus jarak sempadan antarabangsa darat dan maritim negara antara Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang melakukan pemetaan semula yang dimulakan sejak tahun lepas itu merangkumi jarak 3,257 kilometer sempadan darat dan 5,749 kilometer sempadan maritim negara.

“Sepanjang 2,431 kilometer telah pun dimuktamadkan sementara selebihnya iaitu sepanjang 826 kilometer masih belum dimuktamadkan kerana aktiviti penandaan dan pengukuran sempadan sedang berjalan atau ada isu tuntutan wilayah yang bertindih dengan negara-negara jiran.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai maritim sempadan sepanjang 5,749 kilometer dengan negara jiran. Daripada jumlah ini, sepanjang 3,990 kilometer telah pun dimuktamadkan.

“Selebihnya iaitu jarak borders maritim sepanjang 1,759 kilometer masih belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses perundingan kerana ada tuntutan wilayah maritim yang bertindih,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue hari ini.

Dalam program itu, seramai 59 pegawai serta 796 pegawai agensi diraikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 manakala 21 orang pegawai kementerian dianugerahkan Anugerah Lama Berkhidmat.

Tambah Xavier, JUPEM menghadapi pelbagai cabaran getir untuk menzahirkan kedaulatan negara tertutamanya di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulawesi.

Ini termasuk perebutan sembilan kawasan pertikaian Malaysia dan Indonesia yang terdiri daripada lima kawasan di Sektor Sabah Kalimantan Utara dan empat lagi kawasan di Sektor Sarawak Kalimantan Barat.

“Bagi sempadan Malaysia Thailand, anggaran kawasan sepanjang 4km di Bukit Jeli masih belum dapat diselesaikan dan masih lagi dalam proses perundingan di antara kedua-dua negara.

“Bagi sempadan Malaysia Brunei Darussalam, kerja-kerja penandaan dan pengukuran sedang dijalankan secara bersama oleh kedua-dua negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette