Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menunjukkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Datuk Seri Rina Mohd. Harun mengakui beliau dan menteri kabinet dalam kalangan Pakatan Harapan masih kurang pengalaman ketika mula mengambil alih kerajaan setahun lalu.

Namun Menteri Pembangunan Luar Bandar itu menjelaskan, kelemahan tersebut dapat diatasi mereka apabila pantas belajar untuk mentadbir sebuah kementerian.

Menurut beliau, menteri PH juga cepat belajar banyak benda baharu dalam usaha menyesuaikan diri dengan tanggungjawab besar kepada rakyat.

“Seperti di kementerian ini, saya perlu cepat belajar selain mencari pengalaman. Saya perlu turun bertemu rakyat untuk mengetahui isu yang dihadapi mereka.

“Masa mula-mula saya mengakui kurang pengalaman ketika dilantik menjadi menteri namun keadaan bertambah baik dari masa ke semasa.

“Sebagai menteri, saya kena fokus dengan isu yang timbul dengan meletak KPI (Petunjuk Prestasi Utama),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena menjelang setahun kerajaan PH menerajui negara di kementeriannya di sini hari ini.

MGF240419_SETAHUN PAKATAN HARAPAN RINA HARUN11
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2019

Rina diminta mengulas luahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengakui beliau dibebani dengan tugasan “tiga kali ganda lebih banyak” berbanding semasa menjadi perdana menteri pertama kali sebelum ini.

Kata Mahathir, keadaan itu berlaku kerana barisan anggota kabinetnya sekarang kekurangan pengalaman.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, menteri-menteri baru yang dilantiknya belajar dengan cepat dan sentiasa meminta nasihatnya sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai perkara-perkara dalam portfolio mereka.

Ditanya cabaran besar sepanjang menjadi menteri selepas pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum, Rina sedar pelbagai pihak meragui kemampuannya pada peringkat awal.

Apatah lagi kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu, terdapat suara-suara yang mempersoalkan kredibiliti kaum wanita menerajui kementerian yang dikuasai menteri lelaki selama ini.

“Saya turun ke bawah, jumpa rakyat sampai masuk ke sawah. Niat saya pelantikan sebagai menteri adalah demi rakyat kerana saya dipilih oleh rakyat.

“Saya kaji balik program-program sebelum ini selain belajar proses pentadbiran di kementerian.

“Saya mahu jumpa seramai mungkin rakyat untuk mengetahui isu untuk dijadikan pelan kementerian. Ini kerana bila ada pelan saya boleh fokus dan memastikan keberkesanan sesuatu program itu,” katanya. – MalaysiaGazette