KUALA LUMPUR – Sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini menyerahkan waran tangkap kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ampang, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu ketika menghubungi MalaysiaGazette pagi ini memaklumkan perkara tersebut dan beliau mengesahkan didatangi oleh pihak polis berkenaan.

Kehadiran pihak polis itu sebagai melengkapkan proses arahan daripada Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam yang mengeluarkan waran terhadap Jamal.

Jamal, 48, dikenakan waran tangkap susulan kegagalan beliau menghadirkan diri dalam perbicaraan salah satu kesnya semalam tanpa notis bertulis.

MalaysiaGazette cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang pengesahan berkenaan perkara itu.

Terdahulu, Jamal dimasukkan ke wad Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ampang, tengahari semalam kerana menghidap demam campak.

Bagaimanapun pihak hospital berkenaan hanya mengeluarkan sijil cuti sakit bertarikh 24 April 2019 kepada Jamal selepas prosiding mahkamah selesai, semalam.

Sebelum ini, Jamal berdepan dengan empat pertuduhan, iaitu dua melibatkan seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan masing-masing satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Selain itu bagi kes melarikan diri ke Indonesia pula, Jamal berdepan pertuduhan keluar negara tanpa mengikuti laluan sah mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63.

Pertuduhan baharu itu susulan laporan polis dilakukan pihaknya sebaik Jamal diekstradisi ke negara ini pada 5 Julai lalu. – MalaysiaGazette