Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini berikutan sentimen pelabur meningkat dengan berita bahawa Malaysia dan China telah bersetuju untuk meningkatkan perdagangan minyak sawit dan bekerjasama dalam beberapa bidang lain, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.57 mata kepada 1,636.25, daripada 1,635.68 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka 2.98 mata lebih tinggi pada 1,638.66.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 152 berbanding 139, manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,428 tidak diniagakan dan 60 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 237.56 juta saham bernilai RM106.37 juta.

Malaysia dan China menandatangani dua memorandum persefahaman pada Khamis, satu untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama minyak sawit dan satu lagi untuk meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berorientasi transit bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street mencatatkan kerugian semalaman selepas pendapatan daripada syarikat berprofil tinggi tidak menepati jangkaan penganalisis.

Purata Perindustrian Dow Jones kekal kurang memberangsangkan, diheret oleh 3M, manakala Indeks S&P 500 tidak berubah. Bagaimanapun, Nasdaq ditutup lebih tinggi sebanyak 0.2 peratus berikutan keuntungan dicatatkan syarikat gergasi teknologi seperti Facebook dan Microsoft.

Di peringkat domestik, firma penyelidikan itu berkata FBM KLCI mungkin akan berakhir dengan kedudukan tidak berubah berikutan minat belian masih tidak menggalakkan dalam persekitaran semasa.

Berikutan keadaan turun naik yang masih berterusan, katanya indeks utama boleh kembali ke paras 1,630, diikuti paras 1,620. Paras rintangan kekal pada 1,640 dan 1,645.

“Kami fikir corak bercampur-campur ke aliran menurun akan berlaku dalam kalangan saham murah berikutan pemain saham runcit mungkin memulakan pengambilan untung menjelang hujung minggu,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, syarikat perladangan, Sime Darby Plantation naik empat sen kepada RM5.13.

Bagi saham wajaran tinggi yang lain, Maybank naik empat sen kepada RM9.17, tetapi Public Bank susut dua sen kepada RM22.58 dan Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM9.00.

Tenaga dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM12.18 dan RM5.21.

Bagi kaunter paling aktif, Ekovest naik tiga sen kepada 97.5 sen, Bumi Armada turun satu sen kepada 23.5 sen dan TDM menokok 1.5 sen kepada 23.5 sen.

Bagi saham mencatatkan keuntungan tinggi, Carlsberg naik 36 sen kepada RM24.70, Takaful meningkat 31 sen kepada RM6.03 dan G3 naik 15 sen kepada RM1.54.

Indeks FBM Emas meningkat 3.81 mata kepada 11,658.30, Indeks FBMT 100 naik 3.50 mata kepada 11,466.05, tetapi Indeks FBM Emas Shariah turun 7.03 mata kepada 11,862.92.

FBM 70 meningkat 2.36 mata kepada 14,731.90 dan FBM Ace menokok 3.18 mata kepada 4,819.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 45.27 mata kepada 16,894.09, Indeks Perladangan naik 49.93 mata kepada 7,314.76, dan Indeks Produk Industri & Perkhidmatan menokok 0.27 mata kepada 171.34.

– BERNAMA