Seorang peniaga sedang memarut kelapa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazzette di Pasar Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2018

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan untuk memasukkan kelapa dalam senarai barang kawalan, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata keputusan sama ada kelapa akan dimasukkan dalam senarai barang kawalan semasa musim perayaan atau di luar musim perayaan tetapi tidak bersifat sepanjang masa seperti tepung, gula dan minyak masak akan dimuktamadkan kelak.

“KPDNHEP telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, untuk mendapat kepastian dari sudut bekalan. Tidak ada maknanya kita buat barang kawalan kalau bekalan tak terjamin.

“Kami telah berada di peringkat akhir perbincangan. Jika semuanya berjalan mengikut penyusunan, kelapa antara barang pengguna yang berpotensi untuk kita pertimbangkan dimasukkan sebagai item barangan kawalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kepenggunaan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri, di sini malam ini.

Beliau berkata, baru-baru ini Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta KPDNHEP meneliti beberapa barangan-barangan keperluan harian pengguna yang banyak digunakan.

Saifuddin berkata pihaknya telah menyenaraikan lima barangan pengguna antaranya kelapa untuk disenaraikan dalam barang kawalan, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut empat lagi barang yang berpotensi.

“Memang kuasa memasukkan item kawalan kuasa kementerian, di bawah Akta Kawalan Harga tidak payah bawa ke Kabinet, kuasa menteri sahaja. Tetapi saya harus siapkan beberapa “homework” dahulu dan ‘homework’ paling utama adalah jaminan bekalan mencukupi.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 60 ‘booth’ menyertai karnival selama tiga hari bermula hari ini di tapak letak kereta Queensbay Mall di sini.

Beliau berkata program itu adalah satu usaha untuk menjual barangan tempatan pada harga murah. Justeru, Kementerian Kewangan menyalurkan sebanyak RM20 juta dalam bajet tahun ini kepada KPDNHEP untuk mempromosikan program Jom Beli Barangan Buatan Malaysia.

Menurutnya, KPDNHEP menyasarkan karnival seumpama itu akan diadakan di seluruh negara dan Pulau Pinang adalah negeri kedua menganjurkan karnival tersebut selepas Sabah.

— BERNAMA