Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN- Rancangan untuk membina lapangan terbang walaupun hanya untuk kargo akan memberi kesan negatif kepada Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang masih belum mencapai kapasiti penuh dan masih mempunyai ruang untuk berkembang.

“Memang trafik penumpang telah mencapai kapasitinya iaitu lebih sembilan juta penumpang, trafik kargo masih mempunyai ruang yang besar untuk mencapai kapasiti penuh,” katanya ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) mengenai apakah pembinaan lapangan terbang Kedah bakal memberi kesan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Dewan Undanan Negeri, di sini hari ini.

Tambah Kon Yeow, pembinaan lapangan terbang di Kedah pastinya akan menjejaskan Pulau Pinang melainkan jika pelan keseluruhannya menunjukkan kedua-kedua negeri tersebut boleh menikmati manfaat yang serupa.

“Menteri Besar Kedah mengumumkan rancangan untuk membina sebuah lapangan terbang bagi perkhidmatan kargo ketika beliau mengadakan lawatan ke negeri ini bagi memberi taklimat mengenai lapangan terbang tersebut.

“Bagaimanapun, kaji selidik yang telah dibuat bagi tujuan pembinaan lapangan tersebut adalah satu pelan komprehensif yang merangkumi perkhidmatan kepada penumpang dan kargo,” katanya.

Ketika menjawab soalan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) mengenai pelan pembinaan lapangan terbang di salah sebuah pulau di bawah projek Tambakan Selatan Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, ia masih perlu dilakukan kajian mendalam.

Februari lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri telah mendapat kelulusan kerajaan persekutuan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang bernilai RM1.6 bilion di Kuala Muda.

Katanya, sebuah syarikat khas yang dikenali sebagai KXP AirportCity Holdings akan merancang, mengkordinasi dan menguruskan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast