Gambar hiasan

ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai cuba mengelar leher ibunya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tanjung Piring, Kuala Nerang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Noh Idris berkata, dalam kejadian 8 malam itu, mangsa yang berusia 70 tahun sedang berehat di ruang tamu sebelum suspek berusia 35 tahun tersebut datang ke arah mangsa.

“Suspek telah mengambil sebilah sabit kecil dan cuba mengelar leher mangsa namun mangsa berjaya menepis tangan suspek. Selepas itu, berlaku pergelutan hingga menyebabkan lutut bahagian kanan mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk menerima rawatan manakala suspek diberkas polis di rumah sama pada 11.15 malam selepas menerima laporan.

“Suspek yang mempunyai dua rekod lampau itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian dan motif perbuatan adalah kerana suspek ingin mendapatkan wang daripada ibunya bagi membeli dadah jenis syabu dan heroin,” katanya.

Suspek kini direman sehingga 5 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya. – MalaysiaGazette