Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengadakan forum awam untuk membincangkan tentang peranan istana dalam isu Statut Rom.

Malah, tidak ada juga keperluan untuk menarik perhatian rakyat terhadap isu berkenaan.

Hakikatnya, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa kerajaan sebenarnya takut untuk meratifikasikan perjanjian antarabangsa itu.

“Faktanya kamu takut untuk meratifikasinya. Semuanya dalam kuasa anda,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Lantaran itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan PH tidak perlu menyerang Istana Johor atas sikap ‘pengecut’.

Malaysia telah menarik diri daripada penyertaan dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 5 April lalu ekoran kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Perdana Menteri turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

Ia ekoran tindakan lantang Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar mengkritik Statut Rom yang didakwa mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette