Mohamed Azmin Ali

MELAKA – Semua pihak harus menghormati kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 hampir setahun lalu atas sokongan rakyat.

Lantaran itu, tidak sewajarnya ada tindakan atau perbuatan yang bertujuan untuk melemahkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

Sebagai sebuah kerajaan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PH perlu mendapat sokongan rakyat.

Jelasnya, Dr Mahathir mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mempertahan pimpinan dan kerajaan sedia ada pada hari ini.

“Saya seru semua pihak jangan undermina (melemahkan) kepimpinan Dr Mahathir kerana beliau dipilih oleh rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Melaka Berwibawa di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai konflik di antara perdana menteri dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Iskandar.

Ia tercetus satu klip video yang tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan Tunku Ismail menyebut: “Daripada tukar Mora baik tukar perdana menteri”. Mora yang dimaksudkan dipercayai adalah Benjamin Mora, iaitu jurulatih JDT.

Klip video itu dirakam ketika Tunku Ismail beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Stadium di Larkin, Johor selepas pasukan bola sepak JDT tewas 1- 0 kepada Shandong Luneng pada perlawanan Kejuaraan Liga Juara Juara AFC.

Dr Mahathir yang mengulas kenyataan TMJ dengan berkata, hanya rakyat boleh memutuskan untuk menukar perdana menteri Malaysia.

Malah, katanya, TMJ boleh ditukar tetapi bukan perdana menteri.

Perdana menteri juga berkata, Tunku Ismail boleh cuba mengundi jika mahu menukarnya sebagai perdana menteri.

Mohamed Azmin menambah, disebabkan perdana menteri dipilih oleh rakyat, Dr Mahathir perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada Malaysia termasuk membangunkan negara dan memulihkan ekonomi.

“Sewajarnya semua pihak memberi dokongan kerana beliau hanya mahu mempertahankan kedaulatan undang-undang. Tidak ada pihak yang melepasi undang-undang, itu adalah mesej yang hendak diberikan oleh perdana menteri supaya individu rakyat dan semua pihak menghormati undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette