Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto NOOREEZA HASHIM, 22 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan dengan lebih 1,000 pegawai kerajaan terdiri daripada peringkat Pengurusan dan Profesional dari Gred 52 hingga JUSA/Khas Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri di sini.

Tujuan program tersebut bagi membolehkan Perdana Menteri menyampaikan aspirasi dan berinteraksi bersama golongan itu.

Ia berkaitan hala tuju Perkhidmatan Awam dalam membangunkan Malaysia Baharu dan memastikan perjalanan jentera kerajaan berada pada landasan sebenar berlandaskan prinsip Good Governance dan Rule of Law.

“Bertemakan Perkhidmatan Awam Berintegriti Aspirasi Negara, program ini bertujuan untuk menjelaskan hala tuju baharu dan matlamat kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan nilai, kualiti, amanah dan bebas rasuah.

“Ia juga bagi memahami dan menghayati kehendak pemegang kepentingan agar dapat memberikan perkhidmatan yang profesional, terbaik dan berkesan kepada rakyat.

“Pada masa sama, program juga memupuk semangat patriotisme, taat setia dan berkecuali dalam memainkan peranan sebagai pengantara kerajaan dan rakyat,” kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam siaran media yang diedarkan kepada media.

Sementara itu, program tersebut anjuran JPA dan merupakan siri pertama yang diadakan pada tahun ini.

Bagi siri kedua, program sama akan diadakan pada Jun ini dengan melibatkan pegawai-pegawai kerajaan daripada Gred 41 hingga 48. – MalaysiaGazette