Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah

KUALA LUMPUR – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah meluahkan rasa tertekan apabila melihat salah seorang anakanda baginda diperli dan dimaki tanpa sebab.

Raja Zarith Sofiah bertitah, kepada mereka yang melakukan perbuatan itu, baginda berdoa semoga Allah SWT mengurniakan taufiq dan hidayahNya.

Titah baginda lagi, kepada mereka yang memberi nasihat pula kepada anakanda-anakanda baginda, diucapkan terima kasih dengan hati yang ikhlas.

“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas yang terakhir, dan melihatnya dikebumikan, mungkin tidaklah salah jika saya terasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli, dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak, dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun.

“Oleh sebab kami sekeluarga menyedari kami umat Islam, dan setiap kali kami bersujud kami juga menyedari kami adalah hamba Allah, kami tahu kami tiada kuasa diDunia ini,” katanya melalui hantaran Facebook.

Luahan hati baginda dilihat menjurus persengketaan yang berlaku antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada 28 April laiu, pada sidang media di Beijing sempena lawatan rasmi ke China, Dr Mahathir berkata:  “Dahulu kita ingat, pada masa dahulu ada TMJ sudah ditukar, beri kepada adik dia. Jadi TMJ boleh tukar.

“Perdana menteri cuma rakyat sahaja yang boleh tukar, bukan dia. Dia ingat dia orang besar, dia bukan orang besar, dia orang kecil.

Sebelum itu, tular rakaman video yang memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ” tetapi ada seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Susulan itu, kenderaan SUV membawa TMJ tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata, “daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri”.

Menurut Raja Zarith Sofiah, hanya Allah yang berkuasa, bukan keluarganya.

Tambah baginda, ahli keluarga baginda hanya manusia biasa yang tidak boleh lari dari kesilapan dan kelemahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kalau kita tikam orang kita tak rasa sakit sedikit pun. . kita ketawa lagi . tapi bila orang tikam kita . rupanya sungguh sakit. pedih. rasa macam nak terbalikan dunia iniin. biar semua mati.

Comments are closed.