Razlan Lokman
Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii (kiri) dan Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam memegang baju t-shirt Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di pekarangan Pusat Dagangn Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Menjelang Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam secara besar-besaran di ibu negara pada Sabtu ini, pelbagai pihak mula mencetak dan menjual baju t-shirt sempena perhimpunan tersebut.

Antaranya pemimpin bukan kerajaan (NGO), Datuk Mohd Razlan Rafii selaku pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu) menghasilkan kira-kira 10,000 helai baju untuk dijual kepada peserta himpunan itu.

GerakPadu
Petugas NGO GerakPadu sedang melayani seorang pengunjung yang membeli baju t-shirt Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 4 Mei ini di atas sebuah lori pacuan empat roda di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN

Baju himpunan berwarna putih yang tertera perkataan Daulat Tuanku, Rakyat Bersama Tuanku yang dijual kepada orang ramai bermula hari ini bertujuan untuk membangkitkan semangat mempertahankan kedaulatan Islam dan Raja-Raja Melayu.

Dengan menggunakan wajah sembilan Raja-Raja Melayu yang menganggotai Majlis Raja-Raja berlatarbelakangkan bendera Jalur Gemilang, Mohd Razlan menjual baju himpunan itu mulai jam 4 petang tadi dengan harga RM10 sehelai.

Antara lokasi jualan baju himpunan tersebut ialah di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di sekitar pusat beli-belah Pertama dan Sogo.

Razlan-Lokman
Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii (kiri) dan Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam ketika di booth menjual baju t-shirt Himpuna Pertahan Kedaulatan Islam di pekarangan Pusat Dagangn Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN

Menariknya pemimpin NGO itu turut menggunakan sebuah lori pacuan empat roda untuk menjual baju himpunan tersebut secara bergerak di seluruh ibu negara bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Isnin lalu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama 300 NGO Islam Melayu mengumumkan mahu menganjurkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di hadapan Sogo, pada 4 Mei ini

Timbalan Pengerusi, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut bakal menyentuh isu ancaman kepada kedaulatan negara yang meliputi isu Statut Rom, isu arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC dan isu PPSMI.

Susulan pengumuman itu, UMNO Selangor pula semalam mengumumkan akan menyertai himpunan raksasa itu dengan mengerahkan 25,000 ahlinya untuk turun ke jalanan bagi menyatakan bantahan sama.

Perhimpunan itu dianjurkan susulan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa Malaysia sudah menarik diri daripada perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom. – MalaysiaGazette