KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Mei ini untuk pengurusan kes membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi perbicaraan tiga kes yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini memutuskan demikian bagi perbicaraan bersama bagi ketiga-tiga kes yang membabitkan projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, penggubahan wang haram serta kes bersama Datuk Rizal Mansor.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memohon supaya perbicaraan bersama ketiga-tiga kes itu dilakukan di Mahkamah Tinggi.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan Rabu depan bagi ketiga-tiga pihak hadir dalam menentukan tarikh perbicaraan.

MGF03052019_KES ROSMAH SOLAR08 (1)
Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Geethan Ram Vincent hadir bagi perbicaraan anak guamnya berhubung pertuduhan projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 MEI 2019.

Peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, pihaknya membantah permohonan pasukan pendakwa yang mahu perbicaraan bersama memandangkan ia saling tidak berkaitan.

“Hakim hanya mahu putuskan tarikh bagi perbicaraan bersama apabila semua pihak hadir di hadapan beliau pada Rabu nanti.

“Tiga pihak yang berkaitan dengan kes ini akan hadir, pihak pendakwaan mahu ketiga-tiganya diadakan bersama-sama manakala kita membantah.

“Kes berkaitan solar Datin Rosmah dan Rizal bagi berkait maka boleh perbicaraan bersama tetapi kes berkaitan penggubahan wang haram itu, dakwaan itu tidak berkaitan langsung dengan perbicaraan ini, ada dakwaan berkait dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga.

“Bagaimana semua ini saling berkaitan? Kerana itu kami membantah sebenarnya. Jadi Rabu ini adalah hari bagi penentuan pengurusan bagi semua kes ini apabila semua pihak hadir,” katanya di luar lobi mahkamah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes Rosmah, supaya kedua-dua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Permohonan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes ini untuk didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, dibenarkan. Kami tidak bercanggah dengan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Rosmah, diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal, 45, yang juga bekas pegawai khas kepada Najib, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah membabitkan projek sama. -MalaysiaGazette