Seorang lelaki melihat lebih dekat beberapa jenis buah kurma sebelum membelinya ketika tinjauan lensa Malaysia sempena umat Islam menyambut bulan puasa di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Memasuki bulan Ramadan, pastinya ramai yang mencari kurma untuk juadah pertama berbuka puasa.

Bagi peniaga, bulan Ramadan merupakan bulan rezeki apabila buah ini menjadi kegilaan ramai.

Tinjauan MalaysiaGazette di pasar Chow Kit mendapati ramai peniaga sudah mula mengeluarkan dan mempamerkan produk kurma masing-masing.

Pelbagai jenis kurma antaranya Ajwa, Mariami serta Medjoul mula memenuhi ruang perniagaan mereka.

MGF05052019_TINJAUAN BUAH KURMA09
Peniaga. Omar Abu Bakar bercakap kepada media semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia sempena umat Islam menyambut bulan puasa di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

Bagi peniaga, Omar Abu Bakar, momentum permintaan terhadap kurma mula dirasai tiga hingga empat hari sebelum berpuasa.

“Tiga empat hari sebelum puasa inilah yang permintaan tinggi dan maju, bila sudah masuk bulan puasa hari pertama dan kedua masih ada lagi permintaan dan makin menurun bila penghujung Ramadan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, banyak jenis-jenis kurma yang ditawarkan di kedai beliau semakin berkurangan dek kerana persaingan dengan pembekal kurma di pasaraya besar.

Malah kewujudan pasaraya besar yang turut menawarkan kurma pada harga lebih murah juga menyebabkan beliau terpaksa bermain harga bagi mendapatkan sedikit keuntungan.

“Harga kita masih letak dengan harga lama sebab kita perniagaan kecil tidak boleh kawal harga yang diberikan pengedar, mereka masuk ke supermarket dan sehingga kini kami masih boleh bertahan.

“Yang paket ini kami jual dengan harga RM10 sekotak. Tapi bila di supermarket boleh cecah RM8.50 sekotak, jadi margin untung kita makin sikit,” katanya lagi.

MGF05052019_TINJAUAN BUAH KURMA12
Peniaga, Rozita Mohd Yusop membungkus beberapa buah kurma untuk diberikan kepada pelanggannya ketika tinjauan lensa Malaysia sempena umat Islam menyambut bulan puasa di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

Malah bagi Rozita Mohd Yusof, fenomena itu turut menyempitkan rezekinya yang mula berniaga sejak 20 tahun lalu.

Ujarnya, sejak mula berniaga kurma di Chow Kit, permintaan amat tinggi sehinggakan beliau terpaksa memesan berkontena kurma dari negara-negara Arab untuk menampung permintaan pelanggan ketika itu.

“Saya sudah buat perniagaan ini lama, jadi ada pengimport yang selalu buat perniagaan antaranya Tunisia, Madinah.

“Berniaga sekarang tidak macam 20 tahun lepas, dulu susah nak jumpa kurma begini kat pasaraya. Dulu ada sampai berkontena kurma kami ambil untuk dijual di sini,” katanya.

Beliau sebelum ini nekad untuk tidak meneruskan perniagaan jualan kurma miliknya, namun atas desakan pelanggan setia, niat untuk menutup perniagaan dihentikan seketika.

“Tahun ini agak meriah jualan dan lebih bagus daripada tahun lalu. Kalau tidak, saya tidak mahu berniaga, tapi bila pelanggan asyik telefon tanya mengenai produk kita, jadi buka jugalah tahun ini.

“Permintaan amat tingginya buat kurma sekarang, sebenarnya kurma jenis madu Rotab amat kurang, harga melambung jugak sebab pengimport kata bekalan di sana kurang,” katanya lagi.

MGF05052019_TINJAUAN BUAH KURMA18
Peniaga, Mariah Hanapi bercakap kepada media semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia sempena umat Islam menyambut bulan puasa di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

Menurut Mariah Hanafi, permintaan tinggi terhadap kurma Mariami, Medjoul dan Ajwa menyebabkan tawaran terhadap produk itu terpaksa ditambah namun masih mengekalkan harga yang ditawarkan tahun lalu.

“Harga bekalan kurma tahun ini agak mahal, tapi kami tidak boleh naikkan harga sangat nanti pelanggan lari.

“Terpaksa jaga hati pelanggan jadi saya jual dengan harga yang sama juga macam hari-hari biasa,” katanya.

MGF05052019_TINJAUAN BUAH KURMA04
Peniaga, Milah menyusun kemas beberapa jenis kotak buah kurma untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan lensa Malaysia sempena umat Islam menyambut bulan puasa di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

Berikut antara panduan harga bagi jenis-jenis kurma yang dijual di Pasar Chow Kit;

Kurma Ajwa berasal daripada Madinah – RM100 hingga RM110 sekilogram

Kurma Mariami berasal daripada Iran – RM35- RM45 sekilogram

Kurma Medjoul berasal daripada Palestin – RM70 – RM80 sekilogram

Kurma Tunisia Loose daripada Tunisia – RM30- RM50 sekilogram. -MalaysiaGazette