Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.
Dr. Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mendedahkan terdapat kebocoran baharu dikesan oleh Air Selangor selepas kerja-kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran dengan projek pembinaan Lebuhraya Koridor Barat (WCE).

Xavier berkata, kejadian paip pecah bukan perkara biasa sebaliknya kerana kegagalan dinding penahan yang dibina kontraktor WCE menyebabkan berlaku pergerakan tanah di lokasi paip utama terbabit.

“Selepas bercakap dengan Air Selangor, mereka memberitahu saya bahawa paip 900mm yang telah dipasang sepenuhnya telah melihat ada kebocoran baru.

“Menurut mereka, paip awal yang akhirnya pecah ialah bukan pecah biasa. Paip telah dipindahkan dan di ubah lokasi pada banyak tempat kerana kegagalan dinding penahan baru dibina oleh WCE yang menyebabkan pergerakan tanah dan seterusnya menolak paip air.

“Oleh itu, kerja-kerja pembaikan untuk syarikat air telah menjadi sukar dan berisiko tinggi kerana terdapat tanda-tanda tanah pergerakan di dinding penahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad memberi jaminan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Klang dijangka pulih sepenuhnya sekitar pukul 8 malam ini.

Katanya, masa ini pihaknya sedang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Koridor Barat (WCE) Banting-Taiping.

Xavier juga mengarahkan Air Selangor untuk menjalankan kerja-kerja penilaian terhadap beberapa paip bocor yang baru dikesan sebelum melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Penilaian akan dijalankan sebaik mungkin oleh Air Selangor sebelum kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Beliau turut menggesa penduduk yang terjejas agar bersabar sementara Air Selangor melakukan kerja-kerja pembaikan paip pecah sebelum menyalurkan kembali bekalan air bersih semula.

“Sekembalinya saya dari Sabah, saya akan pergi kawasan yang terjejas sekitar pukul 6 petang ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Air Selangor atas segala usaha mereka mengembalikan bekalan air di samping menghantar lori air ke kawasan terjejas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

 

2 Komen

  1. I tinggal jln jenaris 4,
    bandar botanik, 41200 klang. Start sunday petang tidak ada air hingga sekarang, boleh hantar air tempat saya

Comments are closed.