KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Klang dijangka pulih sepenuhnya sekitar pukul 8 malam ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pada masa ini pihaknya sedang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting – Taiping.

Menurutnya, kerja pembaikan bagi paip berkenaan mengambil sedikit masa tambahan ekoran kerosakan serius pada paip jajaran utama bersaiz 1400mm, 900mm dan 600mm yang menyukarkan usaha pihaknya mempercepatkan proses pembaikan.

“Bantuan bekalan air kecemasan melalui tangki air masih digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.

“Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili masih diaktifkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang terjejas.

“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan dan berusaha mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air kepada pelanggan yang terjejas,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat dan status terkini, boleh memuat turun aplikasi menerusi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan juga boleh menghubungi talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 bagi mendapatkan sebarang bantuan. – MalaysiaGazette