Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Foto hiasan

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner di sini hari ini menolak permohonan pihak peguam untuk menangguhkan tarikh prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijadual pada Jumaat ini.

Koroner Rofiah Mohamad berkata pihaknya tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi tempoh inkues berkenaan dan prosiding akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 10 Mei (Jumaat).

“Dalam kes ini, tiada pihak akan diprejudis jika (prosiding) diteruskan atau ditangguhkan. Prosiding inkues diteruskan pada 10 Mei dengan memanggil saksi ke-24 (Pakar Bedah Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi).

“Pada masa sama, notis rayuan yang telah difailkan oleh pihak peguam keluarga boleh diteruskan di Mahkamah Rayuan dan maklumkan kepada mahkamah jika memperoleh keputusan daripada mahkamah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga mangsa memohon Mahkamah Koroner menangguhkan tarikh prosiding pada Jumaat ini sementara menunggu keputusan notis rayuan yang difailkan pihaknya di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas.

Notis rayuan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa lepas membenarkan saksi ke-24 dipanggil semula untuk memberikan keterangan pada prosiding Jumaat ini.

Pihak pengendali inkues Faten Hadni Khairuddin memberitahu mahkamah bahawa permohonan untuk menangguhkan tarikh prosiding inkues yang dikemukakan oleh pihak peguam keluarga seharusnya dibuat di Mahkamah Tinggi, bukan di Mahkamah Koroner.

“Bagaimanapun, permohonan untuk menangguh tarikh inkues ini bagi memberi laluan kepada permohonan rayuan tidak dibuat oleh pihak peguam di Mahkamah Tinggi tempoh hari.

“Tiada pihak diprejudis (dengan memanggil semula saksi ke-24 pada prosiding Jumaat ini) kerana semua pihak boleh bertanyakan soalan kepada saksi ke-24 itu termasuk pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

— BERNAMA