S. Arutchelvan.

KUALA LUMPUR – Seramai 41 keluarga bekas pekerja Ladang Bukit Jalil hari ini mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan membatalkan notis merah pengusiran yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan semalam.

Notis itu didakwa diserahkan oleh beberapa pegawai pejabat tanah itu dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan tangan pada tengahari semalam.

Aktivis masyarakat yang memperjuangkan hak pekerja ladang, S. Arutchelvan mahu menterinya, Khalid Abdul Samad mengarahkan pihak berkuasa tanah itu membatalkan hasrat mereka.

Katanya, pihak berkuasa memberikan notis yang mengarahkan penduduk selama tujuh hari bagi mengosongkan tanah yang telah diduduki sebelum merdeka, iaitu sebelum 14 Mei ini.

“Kita jumpa Khalid Samad pada 19 September lalu yang pernah berjanji penduduk perlu kosongkan tanah berkenaan dan isu ini akan diselesaikan segera.

“Maka kami mahu Khalid berpegang pada janji dan mengarahkan pejabat tanah berkenaan tarik balik notis merah pengusiran berkenaan segera dan menyelesaikan isu ini.

“Daripada 1,800 ekar tanah kerajaan ini kami hanya minta 4 ekar dan rumah teres yang pernah dijanjikan kerajaan sebelum ini. Langsaikan janji itu. Tolonglah prihatin dengan penduduk sini yang sudah tinggal lebih lima generasi,” katanya di pekarangan kuil Hindu Bukit Jalil.

Tambah menyifatkan pemberian notis itu tidak masuk akal dan membidas tindakan tidak wajar penguatkuasa yang mengelar penduduk bekas pekerja ladang itu sebagai setinggan dan penceroboh haram dalam notis tersebut.

Menurutnya, penduduk Ladang Bukit Jalil merupakan satu satunya generasi ladang yang masih wujud di Lembah Klang berikutan terhakisnya ladang-ladang lain berikutan arus pembangunan.

“Semalam kami sudah jumpa dan memanjangkan isu notis merah berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy yang berjanji akan membincangkan di mesyuarat Kabinet pagi ini untuk perhatian menteri Wilayah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selain akan menulis surat kepada pejabat tanah berkenaan untuk membatalkan notis merah.

“Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri wilayah sekarang pun tak pernah meminta penduduk keluar dari ladang ini tapi kami terkilan selepas menerima notis dari pegawai bawahan di peringkat pejabat tanah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast